Tuesday 24 July 2012

STAR 2nd EDITION: 3 Ramadhan 1433H

Assalamualaikum wbt,


Alhamdulillah pada 3 Ramadhan yang lepas, para muslimat dipermudahkan oleh Allah SWT untuk menghabiskan juzuk 3 bersama-sama. Selain itu, yang bertambah menariknya, kali ini ukhti Fatirul sempat berkongsi tazkeerah berkenaan Ghuzwah Badar yang amat menyentuh hati, subhanAllah :-)


Nota yang sempat dikarang oleh ukhti Fatirul untuk tazkeerah kali ini, mashaAllah :-)

Sedikit perkongsian nota tazkeerah yang disediakan oleh ukhti Fatirul:

--------------------------------------------------------------------------------------------

Ghuzwah Badar Al-Kubra
Ia berlaku pada 17 Ramadhan tahun ke-2 hijrah. Ia perang pertama disertai Nabi Muhammad SAW dalam sejarah Islam.
Terdapat banyak pengajaran dari kisah Perang Badar. Di sini dikongsikan sebahagian utama darinya:
1. Kekuatan sebenar adalah dari Allah dan Rasul
                Persiapan tentera Islam dalam Ghuzwah Badar hanya “ala-kadar” kerana tidak menjangkakan perang. Bilangan orang Islam hanya 313 orang, unta 70 ekor, kuda 2 ekor dibandingkan dengan kekuatan fizikal tentera Quraisy yang 3 kali hebatnya; tentera 950 orang lengkap dengan perisai, 700 ekor unta, 100 ekor kuda serta turut membawa penyanyi-penyanyi perempuan yang memukul gendang dan menyanyi megutuk orang Islam. Namun begitu, tentera Islam  dalam Perang Badar mempunyai roh maknawi yang kuat, mereka mewakili aqidah yang suci, iman yang menyala-nyala, kegembiraan untuk mati syahid, juga keinginan mendapat pahala dan syurga Allah. Allah telah menurunkan tentera  Malaikat untuk membantu tentera Islam. 
“Dan sememangnya menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang Beriman” 30:47
2. Usaha mempertahankan hak
                Peristiwa Perang Badar bermula apabila Nabi SAW mempelawa para sahabat Baginda untuk menyekat kafilah dagang Quraisy yang pulang dari Syam ke Makkah; diketuai oleh Abu Suffian. Misi asal sekatan ini bukannya bertujuan peperangan, tetapi ingin menuntut kembali hasil jualan harta orang Islam yang dirampas Kafir Quraisy semasa mereka berhijrah dari Makkah ke Madinah. Usaha penyekatan ini bukan menunjukkan keinginan untuk mengambil harta atau menyamun di jalan sebagaimana yang didakwa para orientalis. Undang-undang membalas tindakan pihak lain dengan tindakan yang sama telah diperakui dalam undang-undang antarabangsa hari ini. Orang Islam melakukan usaha penyekatan ini dengan hak yang diperakui oleh semua undang-undang; baik undang-undang Ilahi, mahupun undang-undang wadhie (ciptaan manusia).
3. Pergantungan sepenuhnya kepada Allah
                Semata-mata logik akal, pasukan Islam dalam Perang Badar boleh dianggap berkedaan lemah (kerana sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Tambahan pula, ahli-ahli Badar ialah “tulang belakang” agama Islam ketika itu yang mana bilangan pengikutnya belum ramai. Doa Rasulullah SAW:
“ Ya Allah, aku menagih janji dan jaminan-Mu. Ya Allah, jika Kamu binasakan kelompok ini (pejuang mukmin), Kamu tidak akan disembah lagi di muka bumi.”
                Baginda memanjangkan sujudnya, sehingga Abu Bakar berkata: “Cukuplah. Sesungguhnya Allah melaksanakan janjiNya untukmu.”
4. Menahan diri dari makan dan minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa dalam bulan Ramadhan bukan bermakna kita boleh lesu dan mengurangkan aktiviti seharian, kerana sejarah Perang Badar pada bulan Ramadhan membuktikan umat Islam mampu melakukan sebesar-besar perkara baik bahkan yang menuntut sepenuhnya tenaga jasmani, akal, dan roh.

Sumber rujukan:
Menurut ukhti Fatirul, buku ini memang sangat disyorkan buat sahabat-sahabat yang nak menelusuri dan menghayati pengajaran daripada sirah nabi. Sangat sesuai terutamanya buat para pelajar yang sibuk dengan urusan akademik kerana ulasannya ringkas namun padat

Allahu'alam.
p.s: Mohon maaf kerana perkongsian STAR 3 Ramadhan 1433H terlewat 2 hari.

Monday 23 July 2012

STAR 2nd EDITION: 4 Ramadhan 1433H

Assalamualaikum wbt,

Alhamdulillah, pada STAR 2nd Edition hari ini, ukhti Izreena berkongsi tazkeerah berkenaan dua do'a di dalam Surah Al-Imran. 

Do'a 1: Surah Al-Imran, ayat 8




Menurut Tafsir al-Khazin, ayat ini bermaksud do'a memohon ketetapan dalam hati akan iman dan hidayah yang dikurniakan oleh Allah. Sebilangan ulama pula mentafsirkannya sebagai memohon keampunan daripada Allah.

Menurut hadis riwayat Ahmad, al-Nasa'ei, Ibn Majah dan al-Hakim yang dianggap sahih, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Al-Mizan itu berada di tangan Allah. Dia akan meninggikan sebahagian golongan dan merendahkan yang lain sehingga hari kiamat. Hati manusia berada antara dua jari Allah Al-Rahman. Jika dikehendaki Dia akan menjadikannya istiqamah dalam kebenaran dan jika dikehendakinya akan disesatkannya."

Amat digalakkan untuk kita hamba-Nya untuk sentiasa mengamalkan do'a memohon ketetapan hati sepertimana yang diamalkan oleh Nabi SAW.

Do'a 2: Surah Al-Imran, ayat 173



Menurut al-Imam al-Bukhari, Ibn al-Munzir, al-Hakim dan al-Baihaqi, daripada Ibn Abbas berkata bahawa do'a ini merupakan kalimah terakhir yang diucapkan oleh Nabi Ibrahim a.s sebelum dicampakkan ke dalam api. Ia juga diucapkan oleh Nabi Muhammad SAW ketika golongan kafir menakut-nakutkan Nabi tentang tentera bersekutu yang akan menyerang Nabi SAW. 
(Tafsir Fakhrurrazi)

Mari beramal dengan do'a-do'a ini insyaAllah. 

Sumber rujukan:



Sejurus selepas tazkeerah, muslimat-muslimat STAR 2nd EDITION masuk dalam kumpulan masing-masing dan bertadarrus. Alhamdulillah, juzuk 4 berjaya dihabiskan. InsyaAllah esok akan disambung dengan juzuk 5 pula.

Sedikit tazkeerah ringkas diberikan oleh ukhti Siti Fatimah Mukhtar sebelum bersurai. Beliau melontarkan soalan kenapa kita perlu bersusah-payah membetulkan bacaan Al-Qur'an sampai kadang-kadang terbelit lidah dan terhenti banyak kali kerana ingin dibetulkan bacaan oleh sahabat. Fatimah memberikan jawapan mudah, ia kerana kitab Al-Qur'an datangnya daripada Allah SWT dan diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW oleh Malaikat Jibril dalam keadaan dan bacaan yang penuh sempurna. Jadi sebolehnya, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai bacaan yang tepat dan sempurna sepertimana sewaktu diturunkan kepada Nabi SAW. InsyaAllah sama-sama kita sabar, tabah dan bersemangat untuk memantapkan bacaan kita ya. 

Allahu'alam.

STAR 2nd EDITION: 2 Ramadhan 1433H

Assamualaikum wbt sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,

Bagaimana 'minggu induksi' dalam 'Madrasah Ramadhan' kali ini? Semoga dipermudahkan segala urusan ibadah kalian inshaAllah :-)

Pada 2 Ramadhan yang lalu, muslimat-muslimat STAR Nottingham dikurniakan peluang oleh Allah SWT untuk menghabiskan juzuk 2, alhamdulillah. Dalam juzuk 2, ada satu ayat berkenaan kewajipan berpuasa yang ingin saya kongsikan bersama inshaAllah. Ia adalah ayat 183, Surah Al-Baqarah.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
.
“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan puasa ke atas kamu sepertimana telah diwajibkan ke atas orang-orang daripada sebelum kamu. Semoga kamu bertaqwa”
(al-Baqarah: 183)

Berdasarkan ayat ini, Allah telah mewajibkan ibadah puasa kepada orang-orang beriman, dan di akhir ayat Allah SWT menyebut:


لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Semoga kamu bertaqwa”

Berdasarkan firman Allah ini, kewajipan berpuasa adalah pasti namun adakah puasa mampu menjadikan kita hamba yang bertaqwa?  Itu bukan kemestian, itu merupakan pilihan individu. Ia bergantung kepada diri kita sendiri, ie sejauh mana kita mahu peroleh melalui ibadah puasa yang kita jalankan. Adalah kita mahu menjadikan puasa ini sekadar kewajipan menahan diri daripada lapar dan dahaga semata-mata? Tanpa ada matlamat, perancangan dan pelaksanaan yang rapi untuk memperoleh ketaqwaan daripada Allah SWT? Rugilah kita wahai sahabat sekiranya begitu.

Dalam erti kata lain, sekiranya ia hanya difahami semata-mata untuk menahan lapar dan dahaga, kita hanya akan merasai lapar dan dahaga sahaja. Tetapi sekiranya kita memahami peranan puasa ini dengan lebih luas lagi sebagai latihan untuk mempertingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, maka Allah SWT menyatakan .. “semoga kamu beroleh ketaqwaan”.


Jadi, mari sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian, sama-sama kita sahut firman Allah ini, semoga Allah kurniakan kekuatan dan hidayah untuk kita sama-sama 'graduate Madrasah Ramadhan' dengan 'ijazah ketaqwaan' seperti mana firman Allah di atas, ameen :-)

Allahu'alam

Sumber: Kuliah Ustaz Nouman Ali Khan. Tafsir Ibn Kathir

Saturday 21 July 2012

STAR 2nd Edition: 1 Ramadhan 1433H

Assalamualaikum wbt,

Alhamdulillah kita masih dikurniakan peluang oleh Allah swt untuk mengikut 'universiti tarbiyah' pada Ramadhan kali ini. Syukur kepada Allah jua, pada 1 Ramadhan 1433H, muslimat-muslimat Nottingham dapat berkumpul di rumah ukhti Elyani, Hana Zainal, Hana Ali & Wani (59, Lace Street) untuk bertadarus.Alhamdulillah :-)

Sekitar STAR 2nd Edition: 1 Ramadhan 1433H:

Ukhti Fatirul membaca Al-Qur'an sambil didengari dan diperbetulkan bacaan oleh sahabat-sahabat yang lain


Membaca, mendengar sambil menghayati Kalam Allah


Look who's there! Dr Izyan yang baru bergraduasi beberapa hari yang lepas. Semoga semangat dan kecekalan Dr Izyan memberi motivasi kepada sahabat-sahabat yang lain inshaAllah. Mubarak Doc!


Kalau mengikut perancangan, untuk sesi STAR seterusnya, inshaAllah kita akan adakan sesi tazkeerah ringkas sebelum sesi tadarus. Dan kita akan cuba habiskan 1 juzuk setiap hari inshaAllah. Untuk hari pertama ni, saya teringin nak berkongsi doa selepas membaca Al-Qur'an yang selalu kita baca. Harap dapat sama-sama hayati maksudnya inshaAllah.

Ukhti Nadiah, koordinator STAR 2nd Edition membacakan doa sambil diaminkan oleh sahabat-sahabat yang lain.

Benarlah Allah yang Maha Besar dan disampaikan oleh Rasulullah S.A.W.
Ya! Allah kurniakan manfaat dan keberkatan kepada kami dengan al-Qur'an
Segala pujian bagi Rab semua alam
Kami memohon keampunan daripada MU ya! Allah al-Haqqal Qayyum
Ya! Allah rahmatilah kami dengan al-Qur'an, serta jadikanlah al-Qur'an
sebagai ikutan, penyuluh, petunjuk dan kerahmatan kepada kami,


Ya! Allah ingatkan kami tentang apa yang kami lupa daripada al-Qur'an,
serta tunjukkanlah apa yang kami tidak ketahui daripada al-Qur'an, dan
mudahkanlah bagi kami untuk membacanya di waktu siang dan malam, serta
jadikanlah al-Quran sebagai hujjah bagi kami wahai Rab sekelian alam.


Kami meminta kepada MU apa yang Engkau ajarkan kepada kami, maka
berikanlah kepada kami ketika kami berhajat kepadanya, jangan sesekali
Engkau lupakan kami terhadapnya.


Selawat Allah ke atas sayyidina Muhammad, ahli keluarganya serta
sahabat-sahabatnya.


Allahu'alam.