Tuesday, 24 July 2012

STAR 2nd EDITION: 3 Ramadhan 1433H

Assalamualaikum wbt,


Alhamdulillah pada 3 Ramadhan yang lepas, para muslimat dipermudahkan oleh Allah SWT untuk menghabiskan juzuk 3 bersama-sama. Selain itu, yang bertambah menariknya, kali ini ukhti Fatirul sempat berkongsi tazkeerah berkenaan Ghuzwah Badar yang amat menyentuh hati, subhanAllah :-)


Nota yang sempat dikarang oleh ukhti Fatirul untuk tazkeerah kali ini, mashaAllah :-)

Sedikit perkongsian nota tazkeerah yang disediakan oleh ukhti Fatirul:

--------------------------------------------------------------------------------------------

Ghuzwah Badar Al-Kubra
Ia berlaku pada 17 Ramadhan tahun ke-2 hijrah. Ia perang pertama disertai Nabi Muhammad SAW dalam sejarah Islam.
Terdapat banyak pengajaran dari kisah Perang Badar. Di sini dikongsikan sebahagian utama darinya:
1. Kekuatan sebenar adalah dari Allah dan Rasul
                Persiapan tentera Islam dalam Ghuzwah Badar hanya “ala-kadar” kerana tidak menjangkakan perang. Bilangan orang Islam hanya 313 orang, unta 70 ekor, kuda 2 ekor dibandingkan dengan kekuatan fizikal tentera Quraisy yang 3 kali hebatnya; tentera 950 orang lengkap dengan perisai, 700 ekor unta, 100 ekor kuda serta turut membawa penyanyi-penyanyi perempuan yang memukul gendang dan menyanyi megutuk orang Islam. Namun begitu, tentera Islam  dalam Perang Badar mempunyai roh maknawi yang kuat, mereka mewakili aqidah yang suci, iman yang menyala-nyala, kegembiraan untuk mati syahid, juga keinginan mendapat pahala dan syurga Allah. Allah telah menurunkan tentera  Malaikat untuk membantu tentera Islam. 
“Dan sememangnya menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang Beriman” 30:47
2. Usaha mempertahankan hak
                Peristiwa Perang Badar bermula apabila Nabi SAW mempelawa para sahabat Baginda untuk menyekat kafilah dagang Quraisy yang pulang dari Syam ke Makkah; diketuai oleh Abu Suffian. Misi asal sekatan ini bukannya bertujuan peperangan, tetapi ingin menuntut kembali hasil jualan harta orang Islam yang dirampas Kafir Quraisy semasa mereka berhijrah dari Makkah ke Madinah. Usaha penyekatan ini bukan menunjukkan keinginan untuk mengambil harta atau menyamun di jalan sebagaimana yang didakwa para orientalis. Undang-undang membalas tindakan pihak lain dengan tindakan yang sama telah diperakui dalam undang-undang antarabangsa hari ini. Orang Islam melakukan usaha penyekatan ini dengan hak yang diperakui oleh semua undang-undang; baik undang-undang Ilahi, mahupun undang-undang wadhie (ciptaan manusia).
3. Pergantungan sepenuhnya kepada Allah
                Semata-mata logik akal, pasukan Islam dalam Perang Badar boleh dianggap berkedaan lemah (kerana sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Tambahan pula, ahli-ahli Badar ialah “tulang belakang” agama Islam ketika itu yang mana bilangan pengikutnya belum ramai. Doa Rasulullah SAW:
“ Ya Allah, aku menagih janji dan jaminan-Mu. Ya Allah, jika Kamu binasakan kelompok ini (pejuang mukmin), Kamu tidak akan disembah lagi di muka bumi.”
                Baginda memanjangkan sujudnya, sehingga Abu Bakar berkata: “Cukuplah. Sesungguhnya Allah melaksanakan janjiNya untukmu.”
4. Menahan diri dari makan dan minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa dalam bulan Ramadhan bukan bermakna kita boleh lesu dan mengurangkan aktiviti seharian, kerana sejarah Perang Badar pada bulan Ramadhan membuktikan umat Islam mampu melakukan sebesar-besar perkara baik bahkan yang menuntut sepenuhnya tenaga jasmani, akal, dan roh.

Sumber rujukan:
Menurut ukhti Fatirul, buku ini memang sangat disyorkan buat sahabat-sahabat yang nak menelusuri dan menghayati pengajaran daripada sirah nabi. Sangat sesuai terutamanya buat para pelajar yang sibuk dengan urusan akademik kerana ulasannya ringkas namun padat

Allahu'alam.
p.s: Mohon maaf kerana perkongsian STAR 3 Ramadhan 1433H terlewat 2 hari.

No comments:

Post a Comment